My Add

Thursday 21 March 2013

Keputusan SPM dorongan Kementerian Pelajaran kerja lebih kuat - TPM

CYBERJAYA, KHAMIS, 21 Mac, 2013: Kejayaan yang diperoleh calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan hari ini, akan menjadi pendorong untuk Kementerian Pelajaran bekerja lebih kuat dalam memastikan pelajar bukan hanya berjaya dalam akademik tetapi secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian amat komited untuk meningkatkan prestasi pelajar di seluruh negara.

"Keputusan hari ini akan diteliti dan dianalisis. Kita akan analisis pencapaian pelajar-pelajar dalam mata pelajaran yang utama, prestasi antara luar bandar dan bandar, antara kaum dan antara mereka yang ambil subjek tertentu.

"Ia bagi pastikan bagaimana sistem pendidikan kita dapat terus meningkatkan kecemerlangan kepada semua pelajar," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan slip keputusan SPM kepada pelajar cemerlang di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini.

Kesemua 14 pelajar sekolah berkenaan memperoleh keputusan sembilan A dan menerima hadiah Ipad mini.

Muhyiddin berkata, kejayaan diperoleh Sekolah Seri Puteri itu berkat kerjasama erat yang terjalin antara Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan daerah serta peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Justeru, beliau berharap kerjasama erat itu akan berterusan demi untuk mencapai kejayaan lebih baik.

Kepada yang tidak mencapai keputusan sebagaimana yang diharapkan, Muhyiddin berkata, tidak perlu putus asa, sebaliknya menjadikan ia penyuntik semangat untuk terus berjaya.

"Cita-cita anak-anak semua belum terhenti dengan keputusan SPM. Ia adalah permulaan ke arah perjalanan yang lebih panjang, banyak lagi peluang serta kejayaan yang bakal menanti selepas ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment