My Add

Tuesday 19 March 2013

Kerajaan akan liberalisasi tiga subsektor perkhidmatan tahunan ini
 KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Mac, 2013: Kerajaan akan meliberalisasikan tiga lagi subsektor perkhidmatan tahun ini, sebagai tambahan kepada 15 subsektor yang telah dibuat sedemikian pada tahun lepas, demikian menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri.

Di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2012, Pemandu berkata, perkhidmatan arkitek, kejuruteraan dan pengukuran bahan dijangka bersedia untuk diliberalisasikan pada tahun ini sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang masing-masing.

Di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI); Persaingan, Standard dan Liberalisasi, ianya turut menyatakan bahawa kerajaan juga akan mempertimbangkan liberalisasi subsektor tambahan atau mempertingkatkan kedalaman pelan liberalisasi dalam subsektor yang sedia ada.

"Dalam hal itu, kerajaan akan terus melibatkan pihak berkepentingan untuk menangani kebimbangan mereka untuk menyampaikan mesej tentang betapa pentingnya peranan liberalisasi tersebut.

"Sementara itu, subsektor yang telah diliberalisasi akan dipantau dari segi sumbangan pelaburan dan perwujudan peluang pekerjaan melalui data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan," kata PEMANDU.

Menteri bertanggung jawab untuk SRI itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sedang mengambil tindakan untuk pertumbuhan ekonomi dan memajukan sektor perkhidmatan, dengan mewujudkan situasi pasaran yang lebih berdaya saing dan dinamik untuk memajukan sektor tersebut.

Beliau berkata, langkah kerajaan sedemikian dijangka meningkatkan pelaburan langsung asing di samping menggalakkan persekitaran yang lebih kondusif dan berdaya saing bagi industri domestik.
"Sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, adalah penting bagi sektor perkhidmatan untuk kekal berdaya saing dan berdaya tahan, terutama sekali ketika kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam ekonomi global," kata Mustapa.

Setakat ini, kerajaan meliberalisasikan 15 daripada 18 subsektor yang pada awalnya diumumkan dalam Belanjawan 2012.

Liberalisasi bagi baki tiga subsektor sebelum ini, telah ditangguhkan kerana keperluan untuk meminda Akta Jurutera 1967, Akta Arkitek 1967 dan Akta Juruukur Bahan 1967. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment