My Add

Tuesday 5 March 2013

Kerajaan BN bukan tunggul, pekak dan bisu

KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi satu mesej yang cukup jelas kepada semua rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) bukannya sebuah kerajaan yang tunggul, pekak dan bisu.

Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan, BN merupakan sebuah kerajaan yang tangkas dan tuntas dalam usaha membela nasib serta masa depan rakyat termasuk golongan bumiputera.

Tidak seperti pihak pembangkang kata Najib, mereka begitu mudah menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa mengira kesannya asalkan mendapat kuasa.

''Kerajaan ini bukannya kerajaan yang meranap dan merobohkan peluang usahawan bumiputera. Kerajaan ini juga bukannya kerajaan populis tetapi kerajaan inilah yang melaksanakan setiap dasar hasil daripada ketelitian berpandukan kepada kemampuan negara,'' katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 3,000 usahawan bumiputera ketika merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera (PUB) 2013 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PUB, Khairy Jamaluddin.

Dalam ucapan tersebut, Najib turut menyatakan komitmen serta iltizam BN untuk terus bekerja keras dalam usaha membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.

''Sebagai sebuah kerajaan kita akan menakhoda bahtera negara dengan penuh iltizam dan kita juga akan bekerja keras dengan penuh bijaksana agar destinasi dituju dapat sampai dengan selamat.

''Sesungguhnya kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan kerajaan ini adalah kerajaan yang istiqamah. Kerajaan ini juga kerajaan yang sentiasa menepati janji,'' ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memberi mandat serta kepercayaan kepada kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) supaya agenda membela rakyat dan membangunkan negara dapat diteruskan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment