My Add

Monday 18 March 2013

Kerajaan komited terus perkasa, upayakan wanita - PM

PUTRAJAYA, AHAD, 17 Mac, 2013 Kerajaan komited untuk terus mengupayakan dan memperkasakan wanita sepenuhnya dalam memastikan potensi wanita dapat direalisasikan serta dibangunkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan bukan setakat mengiktiraf peranan wanita tetapi seterusnya mengarusperdanakan golongan hawa dalam proses pembangunan dan transformasi negara.

"Dalam lipatan sejarah... dalam perjuangan menuntut kemerdekaan... dalam perjuangan mengisi kemerdekaan... dalam perjuangan menjayakan wawasan negara... wanita memainkan peranan penting untuk capai hasrat dan cita-cita negara.

"Itulah sebabnya kita berhimpun hari ini, bagi mencetuskan gelombang di kalangan wanita, supaya wanita tampil ke hadapan seterusnya menaikkan semangat, bahawasanya cita-cita negara tidak mungkin tercapai tanpa mengupayakan wanita di seluruh negara," katanya semasa berucap sempena perhimpunan 1 Juta Wanita atau "1Million Women Purple Walk" 2013 di sini hari ini.

Perhimpunan turut disertai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment