My Add

Thursday 7 March 2013

Kerajaan perlu siasat dalang tragedi Lahad Datu

 *CIK Azni Ahmadun, 49 (tengah) bersama beberapa anggota NGO membakar
gambar Tian Chua di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, RABU, 06 Mac, 2013: Kerajaan perlu membuat siasatan terhadap dakwaan terdapat dalang di sebalik berlakunya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu yang telah mengorbankan lapan anggota keselamatan.

Sepupu kepada Allahyarham Koperal Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden itu, Che Azni Ahmadun, 49, berkata, siasatan tersebut penting bagi membuktikan peristiwa yang berlaku bukan satu konspirasi sebagaimana yang didakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebelum ini.

''Perkara ini melibatkan keselamatan negara, maka terserahlah kepada kebijaksanaan kerajaan membuat siasatan," katanya yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Laporan yang dibuat bersama Barisan Nasional (BN) Shah Alam itu berhubung kenyataan Tian Chua yang menuduh insiden pencerobohan pengganas bersenjata di Lahad Datu sebagai konspirasi terancang kerajaan UMNO.

Yang hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Zulkurnain Md. Roslan dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Azhari Shaari serta Pesuruhjaya Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor, Wan Indra Putra Ahmad.

Che Azni berkata, Allahyarham sepupunya itu dan Inspektor Zulkifli Mamat, 30, dari Besut, Terengganu gugur di medan pertempuran dan perkara tersebut bukan lakonan yang boleh dibuat-buat.

''Tian Chua mengatakan adik saya mati kerana konspirasi UMNO dan Jonathan Lin (di akaun laman Facebook) pula menyamakan dua anggota yang terkorban sebagai anjing UMNO. Selain itu, di Seremban baru-baru ini kecoh mengatakan keranda yang mengisi jenazah anggota keselamatan itu kosong.

''Saya tidak berpolitik tetapi saya cerita kenyataan betul. Saya sendiri memegang surat forensik pembedahan adik saya itu dan tahu di mana kecederaan, sebab-sebab kematiannya dan saya yang menguruskan jenazahnya," jelas beliau.

Che Azni juga meluahkan rasa kecewa apabila pasukan keselamatan dianggap sebagai anjing UMNO sedangkan selama ini mereka sanggup meninggalkan keluarga tercinta dan berkorban demi menunaikan tugas mempertahankan keamanan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment