My Add

Sunday 10 March 2013

Kerajaan Pusat komited perkasa usahawan kecil - Muhydidin

NIBONG TEBAL, SABRU, 09 Mac, 2013: Kerajaan akan terus komited dalam menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kredit bagi membantu memperkasakan para usahawan dan peniaga kecil di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhydidin Yassin berkata, langkah itu penting bagi membantu usahawan mendapatkan pinjaman bagi memaju dan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, menerusi langkah itu juga, sasaran untuk memastikan peniaga Melayu dan bumiputera menguasai 30 peratus kek ekonomi negara dapat dicapai.

"Tidak mustahil untuk melihat cita-cita yang sudah lama diimpikan ini berjaya sekiranya usaha dilakukan secara berterusan dan orang Melayu serta kaum bumiputera sendiri bergiat lebih aktif dalam mengusahakan perniagaan mereka.

"Dalam tempoh 20 tahun yang lepas, orang Melayu dan bumiputera hanya berjaya menguasai 18 hingga 19 peratus kek ekonomi dan sekarang ia telah meningkat hingga mencapai 23 peratus," katanya ketika berucap pada Himpunan Komuniti Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional di Kelab Golf dan Resort Bukit Jawi, di sini hari ini.

Muhydidin dalam pada itu menambah, usahawan dan peniaga yang terdiri daripada kaum-kaum lain juga akan turut sama dibantu.

Tegasnya, kerajaan sedaya upaya mahu memastikan pengagihan kekayaan dilakukan secara adil dan saksama antara semua kaum.

"Dalam peruntukan RM350 juta yang disediakan kerajaan kepada TEKUN, sebanyak RM50 juta dikhaskan untuk kaum India yang melibatkan 5,377 peniaga," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mengumumkan penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta untuk tujuan baik pulih dua buah sekolah agama di daerah ini.

Katanya, ia bagi membolehkan murid di situ belajar dengan lebih selesa berikutan pertambahan murid.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyerahkan cek daripada TEKUN bernilai RM20,000 untuk Tabung Wira Lahad Datu kepada Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment