My Add

Friday 15 March 2013

Kes tipu NFC: Peguam Shamsubahrin tarik diri

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Peguam Datuk Sallehuddin Saidin dan Afifuddin Ahmad Hafifi menarik diri daripada mewakili ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail pada perbicaraan kes berhubung pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail di Mahkamah Sesyen di sini.

Memaklumkan perkara itu kepada Hakim Rozilah Salleh pada prosiding hari ini, Afifuddin berkata beliau dan peguam utama Sallehuddin menerima arahan daripada Shamsubahrin semalam untuk tidak mewakilinya lagi.

"Kami terpaksa tarik diri hari ini kerana telah menerima arahan semalam. Menurut Shamsubahrin, dia berbuat demikian kerana dia mahu melantik peguam baharu bagi kes ini," katanya.

Shamsubahrin berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsubahrin juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah yang sama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Shamsubahrin ketika ditanya Rozilah memaklumkan dia ingin melantik peguam baharu kerana mendakwa peguam sedia ada tidak serius dalam mengendalikan kes berkenaan walaupun telah diberi banyak peluang.

"Saya bayar untuk kehadiran peguam Datuk Sallehuddin sepanjang perbicaraan, tetapi dia jarang ada. Saya buat keputusan ini semalam. Saya tidak mahu peguam saya membuatkan saya kelihatan seperti orang bodoh," katanya.

Tertuduh kemudian memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan dan memberi tempoh seminggu bagi membolehkan dia melantik peguam baharu, namun Rozilah menolak permohonan itu serta meneruskan perbicaraan dengan saksi berikutnya.

Rozilah turut mengingatkan tertuduh agar tidak mengulangi perkara yang boleh membuang masa mahkamah.

"Saya tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi di mahkamah ini. Kita nak habiskan kes segera kerana kes ini sudah lama sejak dari 2011... menangguhkan perbicaraan atas alasan yang tidak dapat diterima adalah melengahkan masa," katanya.

Seramai tiga saksi iaitu Penolong Pengurus Bahagian Perhubungan Celcom Norazlina Ahmad, 32, Penolong Penguasa SPRM Mohd Azlan Mohd Nor, 30 dan Mohd Rafizy Abdul Rabani, 28, yang juga Penolong Penguasa SPRM memberi keterangan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Datuk Abdul Razak Musa.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment