My Add

Saturday 9 March 2013

Ketua Hakim Negara sokong penubuhan Majlis Hukuman

PUTRAJAYA, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakariamenyokong cadangan beberapa pihak supaya Majlis Hukuman ditubuhkan di negara ini.

Arifin berkata majlis itu bukan satu perkara baharu kerana banyak negara lain melaksanakannya kerana ia mampu mempertingkat kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman.

Beliau berkata beberapa modul majlis itu, termasuk dari Amerika Syarikat, sedang dikaji kerana setiap negara mengamalkan konsep berbeza.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Hukuman ini atau tidak," katanya kepada pemberita selepas bertemu beberapa pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Istana Kehakiman hari ini.

Merujuk kesalahan rogol sebagai contoh, Arifin berkata peranan majlis itu bukan sahaja mencadangkan bentuk hukuman malah menjurus kepada prinsip menghukum iaitu apa yang perlu dipertimbang dan sama ada mangsa boleh diberi peluang membuat kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan.

Beliau berkata bagi menunjukkan sokongan terhadap penubuhan Majlis Hukuman, empat hakim terlibat dalam dialog anjuran Majlis Peguam bagi membincangkan perkara itu Selasa lalu.

Selain itu, Arifin berkata wujud peningkatan jumlah pendaftaran kes sivil di Mahkamah Sesyen sejak bidang kuasa Mahkamah Rendah dinaikkan dari RM250,000 ke RM1 juta. 

Beliau berkata setelah digazet pada 1 Mac lalu, sejumlah 250 kes baru didaftar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Jumlah itu tidak termasuk negeri lain, dan ia akan bertambah selepas semuanya direkod kelak dan kes paling banyak didaftar melibatkan perbankan, katanya.

Arifin berkata dalam melaksanakan transformasi badan kehakiman, dua mahkamah khas untuk industri pembinaan diwujudkan di Shah Alam serta Kuala Lumpur, dankes serta pertikaian akan didengar oleh pakar bidang berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment