My Add

Thursday 21 March 2013

Khabar angin bubar Dewan Rakyat tidak betul

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Spekulasi kononnya Parlimen dibubarkan tengah hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan tersebar luas hari ini menerusi pelbagai laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Khabar angin itu menjadi lebih hangat apabila terdapat laman-laman blog menyiarkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki pekarangan Istana Negara seawal pukul 7.55 pagi.

Orang ramai yang ternanti-nanti pengumuman itu kemudiannya terus menyebar luas khabar angin mengenai perkara itu meskipun tiada pengumuman secara rasmi oleh Perdana Menteri.

Berita palsu itu dilaporkan turut menyertakan transkrip penuh kenyataan palsu Perdana Menteri yang kononnya akan dibacakan oleh beliau pada sidang akhbar khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya yang dijadualkan pada pukul 12.35 tengah hari ini.

Antara kenyataan tersebut ialah : ‘‘Saya ingin mengumumkan mengenai pembubaran Parlimen pada hari ini setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini.

‘‘Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk membubarkan Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 dijalankan. Yang di-Pertuan Agong menandatangani perisytiharan pembubaran Parlimen.

‘‘Dengan itu kerajaan-kerajaan negeri turut dinasihatkan membubar Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa pada hari yang sama.’’

Bagaimanapun maklumat palsu itu terus mendapat respons daripada Pejabat Perdana Menteri yang menafikan dakwaan tersebut.

Penafian itu disiarkan menerusi Twitter Msia PM Press Office pada pukul 1 petang.

“Salam sejahtera. Khabar angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini oleh Perdana Menteri @Najib Razak tidak benar sama sekali,’’ menurut laman Twitter itu.

Rabu lalu, sebuah akhbar berbahasa Melayu menerusi laman sosialnya mencetuskan khabar angin yang sama.

Spekulasi itu wujud ekoran laman sosial milik akhbar itu memuat naik gambar kenderaan rasmi Perdana Menteri meninggalkan Istana Negara dengan mesej Najib keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi memberitahu pihaknya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar maklumat atau berita palsu menerusi internet dan SMS. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment