My Add

Friday 15 March 2013

KP Pelajaran perjelas jumlah mata pelajaran SPM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Kementerian Pelajaran hari ini menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan sejak 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.

"Dua mata pelajaran tambahan itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan dalam peperiksaan SPM, kecuali mata pelajaran teras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Calon hendaklah mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Menurut kenyataan itu, calon boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.

"Dan kelonggaran diberi kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual," katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah media tempatan bertajuk 'SPM 10-Subject Limit Stays' yang disiarkan 10 Mac lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment