My Add

Tuesday 26 March 2013

KWSP sasar pelaburan 23 peratus di segi pegangan asing

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Maac, 2013: Kumpulan Wang simpanan Pekerja (KWSP) mensasarkan pelaburan aset globalnya mencecah kira-kira 21 hingga 23 peratus daripada portfolio pelaburan keseluruhannya di dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata KWSP dijangka membuat lebih banyak pelaburan global tidak lama lagi, terutama sekali di dalam pasaran yang dana itu lebih biasa dan selesa.

"Kami prihatin untuk melabur di dalam aset yang mewujudkan nilai, yang sebaliknya akan menjana pendapatan bagi KWSP dan akan mewujudkan pulangan yang memuaskan bagi pencarum kami."

"Kami melaksanakan strategi yang sama seperti tahun lepas dan ia terbukti berjaya," katanya kepada pemberita di luar jadual Sidang Kemuncak Ekuiti Swasta Global KWSP 2013 di sini, hari ini.

Aset pelaburan KWSP sehingga 31 Disember, 2012, berjumlah RM526.75 bilion, yang meningkat 12.31 peratus berbanding RM469.04 bilion yang dicatatkan setahun sebelum itu.

Pelaburan keseluruhan semasa dana itu di dalam aset pelaburan global hanya 17 peratus daripada aset keseluruhannya.

Adalah difahamkan bahawa sasaran pertumbuhan adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian pelaburan KWSP, yang sejajar dengan mandat yang diberikan kerajaan bagi dana simpanan persaraan perdana untuk melabur sekarang ini hingga 23 peratus daripada aset pelaburannya di dalam pasaran antarabangsa.
Shahril Ridza berkata, KWSP berhasrat membuka jalan bagi para pelabur tempatan dan asing untuk melabur di dalam perniagaan Malaysia dan tidak menguasai pasaran pelaburan tempatan.

"Kami terus meningkatkan peruntukan global kami kerana kami perlu memenuhi pertumbuhan dana kami. KWSP berkembang pada purata 9.0 peratus setahun.

"Sasaran pelaburan global yang lebih daripada 20 peratus itu sentiasa bertukar. KWSP akan terus menyemaknya semula setiap kali kami mencapai sasaran, yang lebih bergantung kepada bagaimana ekonomi dan pasaran Malaysia menunjukkan prestasi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment