My Add

Wednesday 13 March 2013

Lebih ramai ibu tunggal di Selangor akan tuntut janji

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Lebih 3,000 ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang dan Batang Kali akan turut mengemukakan saman terhadap Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bagi menuntut tunggakan elaun ibu tunggal seperti dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Penyelaras Tuntutan Ibu Tunggal Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, perkara itu merupakan petanda jelas ibu tunggal di negeri ini telah sedar dan mahu menuntut hak mereka lebih-lebih lagi setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan beberapa kumpulan ibu tunggal sebelum ini.

"Setelah pihak mahkamah mendapati tuntutan kumpulan ibu tunggal itu mempunyai asasnya, kita lihat beberapa kumpulan ibu tunggal lain telah mula tampil menuntut hak mereka. Saya menjangkakan lebih banyak kumpulan ibu tunggal turut melakukan perkara serupa selepas ini.

"Selagi ada kumpulan ibu tunggal di negeri ini yang ingin membuat tindakan serupa, kita bersedia membantu bagi mengemukakan saman dan sekali gus menuntut elaun ibu tunggal seperti dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

Johan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Taklimat dan Penyerahan Geran Persatuan Penduduk di Bawah Inisiatif Mewujudkan Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni Peringkat Parlimen Hulu Langat anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Selangor dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah ROS Selangor, Noraffendy Abd. Khalid.

Sementara itu, Johan yang juga merupakan Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Hulu Langat berkata, pemberian geran sehingga RM10,000 ini pasti banyak membantu persatuan penduduk bagi menjalankan program dan aktiviti yang dirancang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment