My Add

Thursday 14 March 2013

Lelaki ditembak mati di stesen minyak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Seorang ahli perniagaan mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul Pasar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Sivaguru ditembak ketika duduk dalam kereta selepas rakannya keluar untuk membuat bayaran.

"Suspek dipercayai dua lelaki dengan memakai topi keledar bertutup penuh berhenti berhampiran kereta mangsa sebelum pemboncengnya turun dan melepaskan tembakan.

"Mangsa dalam lingkungan 30-an mati di tempat kejadian akibat dari tembakan tersebut," katanya kepada pemberita.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tujuh das tembakan di bahagian cermin hadapan kereta mangsa jenis Naza Ria.

Polis masih menyiasat punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Saksi kejadian, seorang pekerja stesen minyak itu, berkata beliau ternampak kelibat dua lelaki menunggang motosikal berkeliaran di sekitar stesen minyak sebelum kejadian.

"Ketika rakan mangsa sedang membuat bayaran di kaunter untuk mengisi minyak, tiba-tiba saya dengar bunyi tembakan dan lihat kereta MPV itu ditembak oleh seorang lelaki manakala rakannya duduk tunggu di atas motosikal.

"Saya lihat kereta tersebut terundur ke belakang selepas ditembak. Kemudian kedua-dua mereka terus melarikan diri," katanya, sambil menambah dua suspek berkenaan berbadan gempal.

Saksi berkenaan percaya mangsa dan rakannya tinggal di sekitar kawasan Sentul kerana sering dilihat mengisi minyak di stesen berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment