My Add

Tuesday 19 March 2013

LIMA 2013: Boeing pamer Super Hornet, keupayaan pertahanan

  *SUPER Hornet F/A-18F Boeing

KUALA LUMPUR: Super Hornet F/A-18F Boeing bersedia untuk kembali ke udara Malaysia untuk penampilan keempat pada acara dwitahunan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.

"Sasaran Boeing pada LIMA adalah untuk menampilkan keupayaan syarikat dan mengukuhkan hubungan yang sudah teguh yang telah dibangunkan dengan Malaysia dan rantau Asia Pasifik," kata Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, Asia Timur dan Pasifik, Boeing Defense, Space & Security, Jim Armington dalam satu kenyataan dari St Louis, hari ini.

Malaysia adalah peserta industri dan pasaran utama bagi Boeing.

"Boeing melihat banyak peluang untuk mengembangkan keupayaan serantau kami dalam kerjasama dengan industri tempatan. Melalui kepakaran kami yang luas dalam kejuruteraan dan pembuatan, Boeing berada pada kedudukan yang unik untuk mewujudkan inisiatif baru yang akan memajukan aeroangkasa di Malaysia."

Dua Super Hornet akan menjadi sebahagian daripada barisan yang mantap pada pameran udara produk pertahanan dan perkhidmatan Boeing yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan di rantau ini.

Platform Boeing yang dijadualkan dipamerkan termasuk Hornet F/A-18D Tentera Udara Diraja Malaysia, pengangkut udara Globemaster III C-17 Tentera Udara AS, Wedgetail Amaran Awal dan Kawalan (AEW & C) Udara Tentera Udara Diraja Australia, helikopter Apache AH-64 Tentera Udara Singapura dan model skala penuh ScanEagle tanpa pemandu daripada subsidiari Boeing Insitu Pacific.
Simulator penerbangan F/A-18E/F Super Hornet akan menjadi tarikan utama pameran Boeing di Dewan A, Ruang Pameran A255.

“Sistem berkenaan, dengan skrin projeksi 180 darjah, mampu menunjukkan simulasi pertempuran udara dan sasaran udara ke bumi, navigasi, dan misi operasi sistem,” katanya.

Pengendali juga berpeluang melakukan pendaratan dan berlepas dari landasan atau pesawat pengangkut.

Pameran Boeing juga akan menampilkan helikopter peninjauan/serangan ringan AH-6i dan serangan langsung laser sistem senjata di ruang pameran A260.

Boeing mempunyai pejabat korporat di Kuala Lumpur dan pejabat Boeing Commercial Airplanes Field Service di Lapangan Terbang Subang.

Hubungannya dengan Malaysia bermula sejak 1947, dengan pemerolehan tiga DC-3 oleh Malayan Airways Limited.

Syarikat penerbangan nasional sekarang ini, Malaysia Airlines adalah antara pelanggan pertama pesawat 777 Boeing di Asia Tenggara.

Pada 1993, Malaysia menempah lapan pesawat Hornet F/A-18D untuk mengukuhkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia dan hari ini negara menilai Super Hornet F/A-18E/F bagi pesawat tempur pelbagai peranan.

Sebuah unit Boeing Company, Boeing Defense, Space & Security adalah syarikat keselamatan, angkasa dan pertahanan terbesar dunia mengkhusus dalam penyelesaian pelanggan inovatif dan dipacu kemampuan dan pengeluar serba boleh dan terbesar di dunia bagi pesawat tentera.

Beribu pejabat di St Louis, Boeing Defense, Space & Security adalah syarikat bernilai AS$33 bilion dengan 59,000 pekerja di seluruh dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment