My Add

Wednesday 13 March 2013

LIMA 2013 tetap diteruskan walau Parlimen dibubar

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 pada 26 hingga 30 Mac ini akan tetap diteruskan walaupun berlaku pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan semasa dan spekulasi yang mengatakan Parlimen akan dibubarkan selain pilihan raya umum tetap dijalankan dalam bulan ini, tidak memberi kesan terhadap penganjuran itu.

"Kalau ditakdirkan berlakunya pembubaran Parlimen atau pilihan raya dalam bulan ini, LIMA 2013 tetap diteruskan. Dengan perkembangan semasa, kita dapati sambutan syarikat-syarikat multinasional dan pempamer tidak langsung terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi semasa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor dan Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Ahmad Zahid berkata, LIMA 2013 juga menyaksikan penyertaan pempamer dan syarikat multinasional bertambah berbanding sebelum ini.

Kepada soalan mengenai saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kerajaan menambah keperluan dan aset pertahanan negara, menurutnya, kerajaan ketika ini tertakluk pada peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Pada hemat saya, belanjawan tambahan boleh dikemukakan dalam penggal Parlimen yang baharu. Insya-Allah, dengan kerajaan dapat majoriti dua per tiga Dewan Rakyat nanti, maka harap tak dapat banyak bangkangan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya sedang menunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh mahkamah berhubung tindakan undang-undang ke atas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli ekoran dakwaan penyelewengan dana LTAT bagi pembelian tanah oleh Boustead Holdings Bhd. iaitu anak syarikat lembaga itu.

Berhubung pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa semua pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetara dengan Perkhidmatan Awam Am, beliau berkata, anggota tentera telah lama menanti keputusan itu.

"Walaupun apa sahaja yang dilakukan kerajaan akan dianggap sebagai gula-gula pilihan raya oleh pembangkang, hakikatnya, anak buah saya (pasukan keselamatan) telah lama menantikannya," ujar beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment