My Add

Tuesday 12 March 2013

Lucut kerakyatan rakyat perlekeh keselamatan negara

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Mac, 2013: Kerajaan digesa melucutkan kerakyatan mana-mana pemimpin politik termasuk individu yang didapati mengkritik dan memperlekehkan soal keselamatan negara.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan tersebut perlu supaya pemimpin seperti Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang didakwa mempersoalkan integriti anggota keselamatan dapat diadili dengan lebih tegas.

"Soal keselamatan negara bukanlah sesuatu yang perlu dipolitikkan lebih-lebih lagi berhubung profesionalisme anggota keselamatan negara.

"Sehubungan itu, saya menggesa pemimpin seperti Tian Chua perlu dilucutkan kerakyatannya kerana menghina dan bagi mengelak sikap beliau itu daripada mempengaruhi minda rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Editor Keadilan Daily, Fazallah Pit yang mendakwa Tian Chua menyatakan insiden tembak-menembak di Kampung Tanduo, Sabah merupakan satu konspirasi UMNO bagi mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat seperti disiarkan dalam portal rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Difahamkan, buku nota wartawan yang menulis berita itu, Aisha Geoffry turut diambil polis bagi tujuan siasatan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Anti Jenayah Bersatu Malaysia, Datuk Dr. A. Balakrishnan berkata, sikap Tian Chua jelas dilihat cuba memperkecil-kecilkan kemampuan anggota keselamatan negara dalam menangani isu itu.

Sikap sedemikian adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan dan mampu merosakkan keamanan dikecapi negara.

"Dalam hal ini, kami bersatu di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berikrar satu inci tanah pun tidak akan diserah atau dibiar dirampas oleh penceroboh di Sabah.

"Kami juga menggesa Tian Chua menarik balik kenyataan yang disiarkan dan tidak menjadikan isu ini bagi mencari publisiti murahan," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment