My Add

Wednesday 6 March 2013

Malaysia, Filipina sepakat penceroboh adalah kumpulan pengganas Sulu

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Malaysia dan Filipina bersepakat menganggap pencerobohan kumpulan yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai pengganas.

Persetujuan itu dibuat dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Setiausaha Luar Filipina, Albert Fl Del Rosario di sini semalam.

"Malaysia telah membuat keputusan untuk menganggap kumpulan ini sebagai pengganas selepas dengan kejadian tersebut dan dipersetujui oleh Rosario," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Filipina telah memberikan jaminan untuk membawa kumpulan pengganas dari Sulu itu ke muka pengadilan, selain mengenakan tindakan undang-undang yang keras.

Katanya, Filipina juga mengecam tindakan kumpulan pengganas yang telah bertindak membunuh lapan pegawai keselamatan dalam kejadian pencerobohan tersebut.

"Rosario telah memberikan jaminan bahawa kerajaan di negaranya akan mengenakan tindakan undang-undang yang keras terhadap pengganas dari Sulu ini.

"Bahkan, Rosario telah memanjangkan takziah kepada ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Lapan anggota pasukan keselamatan maut di Sabah sejak beberapa hari lalu berikutan pencerobohan pengganas dari Sulu yang dipimpin ketua pengganas, Raja Muda Azzumudie iaitu adik kepada Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu.

Menurut Anifah, pada pertemuan itu juga, Malaysia menghargai pendirian kerajaan Filipina dan Presidennya, Benigno Aquino yang menyeru supaya kumpulan pengganas itu menyerah diri dan pulang ke negara asal dengan segera, namun telah bertindak mengabaikan arahan itu.

"Kita juga telah cuba sebaik mungkin untuk memujuk pengganas itu untuk berundur, malah menawarkan penyelesaian secara aman tanpa pertumpahan darah serta telah menangguhkan tarikh akhir untuk mereka berundur, namun dikesali kumpulan itu memilih untuk menyerang dan membunuh anggota keselamatan pada Jumaat lalu," katanya.

Kata Anifah, Malaysia bertindak menyerang kumpulan tersebut kerana mereka sendiri telah mengabaikan tawaran oleh kerajaan yang cuba mengelakkan sebarang pertumpahan darah.

"Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingan keselamatan dan kedamaian di negara ini," tegasnya.

Bahkan, kata Anifah, beliau turut menekankan bahawa tindakan perlu dikenakan terhadap Jamalul Kiram ke atas pelbagai kenyataan beliau yang membangkitkan perasaan kebencian dan kemarahan.

"Bagaimanapun, perkara yang dibincangkan itu adalah tertakluk kepada kelulusan akhir yang akan diputuskan antara kami berdua," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment