My Add

Thursday 14 March 2013

Mangsa insiden pencerobohan gembira terima bantuan

LAHAD DATU, RABU, 13 Mac, 2013: Tiga bantuan diumum kerajaan semalam memberi khabar gembira kepada kira-kira 2,000 penduduk yang terjejas dengan Operasi Daulat, yang menyifatkan kerajaan prihatin terhadap nasib mereka biarpun dalam keadaan kecemasan.

Ketua Kampung Sungai Merah, Raut Bani, 50, berkata, pemberian itu membuktikan kerajaan mengotakan apa yang dijanji sejajar gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Kami berasa gembira kerana sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban kami yang lebih dua minggu kehilangan mata pencarian akibat pencerobohan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengumumkan bantuan ini," katanya kepada kira-kira 389 penduduk yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna Cenderawasih.

Ketua Masyarakat Kampung Tanjung Labian, Assaffal Alian, 48, pula berkata, bantuan perumahan untuk masyarakat kampungnya adalah satu rahmat yang amat dinantikan selama ini.

"Dalam tempoh dua minggu ini, kami risau jika rumah kami musnah akibat serangan pengganas atau musnah dalam Ops Daulat. Ini menyebabkan kami tiada tempat untuk berlindung setelah dibenarkan pulang nanti," katanya.

Miskiah Maskun, 45, berkata, pemberian wang ehsan RM1,000 untuk setiap keluarga amat dialu-alukan sekali gus dapat membantu keluarga yang terjejas meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Baguslah kerajaan nak bantu kami. Saya tidak akan lupakan jasa kerajaan...

saya berterima kasih sangat-sangat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi berkata, bantuan itu merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyatnya mendapat kesejahteraan dan pembelaan.

"Bantuan kerajaan itu berbentuk dalam dua fasa, iaitu bantuan wang ehsan RM1,000 adalah berbentuk jangka masa pendek manakala bantuan perumahan dan penjadualan semula bayaran pinjaman dengan agensi kerajaan adalah satu langkah jangka masa panjang.

"Inilah kerajaan yang terbaik untuk rakyat kerana amat memahami denyut nadi rakyat meskipun dalam keadaan kecemasan seperti sekarang," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan tiga bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas dalam Ops Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak selain penjadualan semula bayaran pinjaman bagi penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment