My Add

Tuesday 12 March 2013

Manifesto pembangkang sukar dipercayai: PM

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan manifesto pakatan pembangkang sukar dipercayai dan mempersoalkan sejauh mana ia dapat menunaikan janji mereka apabila aspek pelaksanaannya tidak dihuraikan.

Beliau berkata, ia juga tidak lengkap kerana pakatan pembangkang tidak menghuraikan kaedah pelaksanaannya dan pihak yang akan bertanggungjawab membiayai janji mereka seperti ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Isu pokok adalah ia tidak lengkap kerana tidak dihuraikan bagaimana segalanya boleh dilaksanakan. Pokoknya soal pembiayaan...tidak ada percuma di dunia. Pembayaran tidak ada percuma di dunia ini. Mesti ada pihak yang tanggung pembiayaan ini,” katanya ketika menjawab soalan Sabariah Salman dari Teluk Intan, Perak berhubung janji manifesto pembangkang menurunkan harga petrol, tol dan pendidikan percuma di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika program Perbualan Bersama PM di TV3 anjuran akhbar New Straits Times di Seri Pentas.

Dalam manifesto 2008 pakatan pembangkang, katanya, banyak tinggal sebagai janji kosong di mana tahap keyakinannya boleh dipersoalkan iaitu bagaimana dan sejauh mana mereka akan tunaikan semua janji ditawarkan dalam manifesto baru.

Beliau berkata, banyak janji lain yang ditawarkan di mana ia nampak sukar untuk dipercayai.

Sementara itu, menjawab soalan penonton, Agatha Martha Yong dari Keningau, Sabah berhubung manifesto pembangkang menurunkan harga kereta, Najib berkata, ia perlu dilihat secara realistik dan tidak memberi kesan kepada penjualan kereta terpakai serta memberi peluang untuk Proton lebih berdaya saing. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melaksanakan penurunan harga kereta secara berperingkat dengan meminta syarikat pada awalnya menurunkan harga secara sukarela; kini ia turun secara signifikan iaitu antara RM3,000 hingga 15,000.

Beliau berkata, mengikut perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan dan perjanjian Perdagangan Bebas dengan Jepun serta Australia, harga kereta asing akan turun kepada 20 peratus. - BH

No comments:

Post a Comment