My Add

Wednesday 13 March 2013

Manifesto pembangkang tidak perjuang kaum India?

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Sama ada pembangkang tersalah cetak lagi atau kepimpinan pembangkang tidak buat-buat lupa, timbul tanda tanya kenapa tidak ada langsung rancangan atau pelan dalam manifesto pilihan raya pakatan untuk pembangunan masyarakat India di negara ini.

Menarik perhatian mengenai setiap halaman manifesto itu, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, ia bukti jelas betapa pembangkang cuba memperdayakan kaum India dengan janji-janji manisnya menjelang pilihan raya.

Menurutnya, lebih teruk lagi ialah apabila pembangkang baru-baru ini berjanji pula akan melaksanakan tuntutan-tuntutan Hindraf dalam tempoh 100 hari sekiranya pakatan berjaya mengambil alih kerajaan Pusat.

"Namun yang peliknya tuntutan-tuntutan Hindraf ini tidak pula dimasukkan dalam manifesto yang dilancarkan pakatan di Shah Alam baru-baru ini.

"Dalam manifesto itu, halaman atau muka surat untuk (perancangan pembangunan) kaum India memang tak ada.

"Adakah pembangkang terlupa, jadi macam mana masyarakat India nak percaya pakatan pembangkang, tidak ada bukti untuk kami (kaum India) tuntut kalau pakatan menang," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ramanan menarik perhatian, warna jingga pada kulit buku manifesto pakatan pembangkang yang diedarkan itu mempunyai makna yang cukup mendalam kepada masyarakat beragama Hindu di negara ini.

"Jingga atau oren ada kaitan dengan agama Hindu, warna itu suci tetapi mengapa mahu perdaya masyarakat India dengan tidak ada satu patah perkataan pun menyebut apa perancangan untuk kami dalam manifesto itu.

"Malah, saya fikir Hindraf lebih akan rasa kecil hati kerana logonya juga berwarna oren namun mereka boleh tipu Hindraf yang pernah bantu pakatan menang sejumlah besar kerusi pada 2008," katanya.

Menurut Ramanan, beliau difahamkan, ada pihak bertanyakan pemimpin pakatan itu mengapa perancangan untuk kaum India diketepikan dalam manifesto pakatan.

"Dan dengan mudah pemimpinnya menjawab, manifesto itu tak mengikut kaum sebaliknya untuk semua rakyat mendapat peluang yang sama. Tapi, masalahnya komuniti India tak dapat keistimewaan langsung dalam manifesto mereka," katanya.

Ramanan berkata, berbeza dengan pembangkang, kebiasaannya apabila Barisan Nasional merangka manifesto, parti pemerintah itu akan menyediakan satu pelan pembangunan yang tersusun untuk kaum India.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak jelas terbukti menjaga kebajikan kaum India, sekolah bantuan modal (SJKTamil) pun dah bertukar sekolah bantuan penuh, peruntukan RM100 juta untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil, malah ada bantuan dana TEKUN pula untuk usahawan muda India," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment