My Add

Monday 11 March 2013

Maritim Malaysia tambah kekuatan anggota di pantai timur Sabah

LAHAD DATU, AHAD, 10 Mac, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menambah kekuatan anggota dan kapal maritim sehingga 60 peratus di sepanjang perairan pantai timur Sabah ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, penambahan itu termasuk lima kapal maritim yang akan tiba tidak lama lagi.

"Sehingga kini, kekuatan Maritim Malaysia yang ada di kawasan pantai timur Sabah ditingkatkan sebagai bantuan agresif kepada Ops Daulat.

"Sebelum ini, kawasan ini hanya mempunyai sebanyak 200 anggota dan sembilan kapal maritim sahaja," katanya dalam sidang akhbar menerangkan penglibatan Maritim Malaysia dalam operasi di pantai timur Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Maritim M. Karunanithi dan Ketua Penguatkuasa Maritim Pangkalan Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Nurulazme Zakariah.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut berkata, Maritim Malaysia akan mewujudkan pos kawalan darat di sepanjang pantai Sandakan ke Tawau.

Menurut beliau, pos-pos kawalan itu mampu menjadi pangkalan logistik bagi membolehkan kapal maritim yang berada berdekatan mendapatkan bekalan.

Menurut beliau, Maritim Malaysia telah memohon bagi membolehkan jeti di Felda Sahabat dijadikan pos kawalan darat dan perkara itu sudah dipersetujui Felda.

"Dengan adanya pos-pos darat ini, semua kapal maritim yang berada di kawasan sekitar mampu memperoleh bekalan lebih hampir dengan kawasan operasi dan tidak memerlukan mereka belayar lebih jauh.

"Sebagai contoh jika kapal maritim berada di Lahad Datu, mereka perlu kembali ke Sandakan untuk mendapatkan bekalan, jadi dengan adanya pos-pos darat ini, bekalan akan diperoleh dengan mudah dan cepat tanpa meninggalkan kawasan operasi," katanya.

Sementara itu, Karunanithi berkata, sejak Op Daulat dilancarkan pihaknya telah memeriksa kira-kira 300 bot nelayan namun tiada tangkap dilakukan.

"Dalam 300 bot yang diperiksa itu, hanya dua bot ditahan di kawasan Semporna dan Pulau Berhala.

"Sebuah bot merupakan bot nelayan Pala'uh yang tidak mempunyai dokumen diri dan untuk kes itu, Mahkamah Anak Negeri akan membuat keputusan sama ada mereka ini Pala'uh atau tidak," katanya.

Pala'uh merupakan mereka yang tinggal di atas laut dan tidak mempunyai kewarganegaraan sama ada Malaysia atau Filipina dan kebanyakan mereka adalah suku Bajau Laut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment