My Add

Wednesday 13 March 2013

Masa depan negara lebih baik, jika BN diberi mandat besar

KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Razak percaya Barisan Nasional (BN) boleh melakukan yang lebih baik untuk negara dan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Perdana menteri berkata, kerajaan mempunyai rancangan jelas untuk masa depan dan ini adalah masanya untuk rakyat memberikan kepercayaan kepada kerajaan berdasarkan rekod prestasi yang baik.

Katanya, beliau memikirkan mengenai masa depan Malaysia serta rakyatnya setiap masa dan meletakkan hati serta jiwanya kepada tugas.

“Saya menyatakan kepada rakyat bahawa kita memerlukan kerajaan yang kuat di negara ini. Kita tidak mampu ada ketidakstabilan.

“Ketidakstabilan akan lahir daripada kerajaan yang lemah dan segala perkara baik yang kita laksanakan, segala pencapaian yang kita raih lebih 50 tahun boleh lenyap dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika menjawab soalan terakhir jika BN diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata demikian pada program `Perbualan Bersama PM’ anjuran akhbar New Straits Times yang disiarkan di TV3, malam ini.

Najib berkata, kita tidak boleh mempertaruhkan nasib kepada pembangkang kerana mereka tidak mempunyai platform yang satu, mereka mempunyai ideologi berbeza dan ideologi yang sangat bertentangan antara satu parti dengan parti lain.
“Pada dasarnya mereka tidak mendaftar sebagai parti politik, mereka berdiri di atas tiga platform berbeza dan tiga simbol berbeza.

“Malah, persoalan siapa yang akan mengetuai parti itu jika mereka berjaya membentuk kerajaan, masih belum pasti kerana mereka tidak mampu memutuskan siapakah yang akhirnya akan menjadi pemimpin mereka.

“Justeru, pesanan saya kepada seluruh rakyat Malaysia ialah kita mempunyai masa depan yang cerah,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment