My Add

Tuesday 12 March 2013

Masjid perlu jadi zon perdamaian

*JAMIL Khir Baharom menyerahkan replika cek daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada Osman Mustapha semasa majlis perasmian Kursus Induksi Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah di Bangi, semalam.

Oleh KAMIL MASLIH
BANGI, ISNIN, 11 Mac, 2013: Institusi masjid dan surau perlu dijadikan zon perdamaian serta ketenangan tanpa unsur-unsur politik kepartian bagi menjamin perpaduan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu perlu dipandang serius terutamanya semasa dalam khutbah Jumaat agar masyarakat Islam tidak berpecah-belah.

"Kalau elemen kepartian dibawa oleh tok-tok imam dan kemudiannya dipanjangkan ke mimbar masjid, sedar tidak sedar akan membentuk perbalahan dan perpecahan secara halus.

"Saya bimbang perkara ini akan melarat sehingga amalan saling pergi kenduri, ziarah orang sakit akan pudar kerana orang sakit hati dan akhirnya kampung atau daerah akan hilang kedamaiannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Induksi Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Osman Mustapha

Menurut Jamil, beliau berharap mekanisme PPMD yang kini merangkumi 171 penyelaras di seluruh negara akan dapat memainkan peranannya bagi mewujudkan perdamaian itu di daerah masing-masing.

"Saya berharap Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah yang dilantik ini akan memantau dan memberi nasihat agar institusi agama boleh menjadi faktor yang mendamaikan di sesuatu tempat," katanya.

Katanya, PPMD akan turut dipertanggungjawabkan bagi memberi penerangan mengenai pelbagai syiar Islam yang telah dilaksanakan kerajaan di samping memperkasakan institusi masjid dan surau.

"Kita mahu maklumat mengenai pelaksanaan agensi agama dari peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri itu sampai ke peringkat bawah kerana mungkin banyak ahli kariah yang tidak tahu mengenai amanah yang telah dilakukan kerajaan.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kita telah menaik taraf Darul Quran menjadi sebuah kolej universiti, kita juga membentuk TV Al-Hijrah untuk mengembangkan dakwah dan memberi bantuan elaun imam-imam masjid serta guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)," katanya.

Sementara itu, Jamil memberitahu, proses menaik taraf sistem perundangan syariah di negara ini sedang berada dalam peringkat perincian sebelum dibawa kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

"Kertas cadangan pindaan perundangan ini sedang diteliti Pejabat Peguam Negara dan akan dibentang secara bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Majlis Raja-Raja Melayu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment