My Add

Wednesday 20 March 2013

Masyarakat Cina Kelantan sumbang RM100,000 kepada Tabung Wira PDRM

KOTA BHARU, RABU, 20 Mac, 2013: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan daripada masyarakat keturunan Cina di Kelantan menghulurkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk wira Ops Daulat di Sabah.

Antara yang memberikan sumbangan sekitar RM1,000 hingga RM5,000 ialah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Wanita MCA Kelantan.

Sumbangan yang dikutip dalam tempoh 20 hari selepas dilancarkan pada 28 Februari lepas itu diserah kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman pada majlis jamuan malam di Dewan Perniagaan Cina di sini malam tadi.

Pada majlis itu Jalaluddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 50 penderma tabung itu.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Pengerusi Jawatankuasa penganjur majlis, Phang Soon Yau.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jalaluddin berkata, beliau akan menyerahkan semua kutipan kepada Kelab Sukan, Kebajikan dan Sosial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada penderma, beliau menyanjung tinggi semangat perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan penderma negeri ini bagi mengisi Tabung Wira PDRM itu, tanpa mengira keturunan dan fahaman politik.

Mengenai seorang guru berusia 37 tahun dari sekolah rendah di Pasir Puteh, yang ditahan reman kerana disyaki menghina pasukan keselamatan dalam Ops Daulat, Jalaluddin berkata, polis masih menunggu laporan siasatan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Guru terbabit dilapor membuat kenyataan menghina pasukan keselamatan sebagai "anjing" dan menganggap kematian mereka sebagai "mati katak" dalam laman sosial Facebook miliknya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment