My Add

Friday 15 March 2013

Mati syahid: Pendirian 'keluk-kelik' Pas dipertikai

Oleh RADHUAN HUSSAIN
MARANG, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Seorang bekas ahli Pas, Ramli Abdullah mempersoalkan keikhlasan dan pendirian parti itu yang berubah-ubah berkaitan mati syahid dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu yang sehingga kini telah mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan.

Ramli, 54, yang baru sahaja menyertai UMNO bersama-sama 80 lagi bekas ahli Pas pada 4 Februari lalu berkata, beliau pelik dengan sikap 'keluk-kelik' Pas yang sebelum ini menyokong kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua kononnya insiden di Sabah itu sandiwara kerajaan dan UMNO.

Menurutnya, pada masa sama parti berkenaan turut mempertikaikan pengorbanan kesemua pegawai dan anggota pasukan keselamatan Malaysia yang terbunuh dalam insiden itu, sekali gus menolaknya sebagai mati syahid.

Bagaimanapun, katanya, pendirian Pas itu tiba-tiba berubah apabila dua mangsa terbaharu membabitkan dua anggota tentera yang terkorban dalam insiden itu kelmarin, disifatkan sebagai mati syahid.

"Sebelum ini Tian Chua kata insiden pencerobohan di Sabah adalah satu sandiwara kerajaan dan UMNO, dan Pas pula sokong kerana mereka berada dalam satu pakatan.

"Tetapi kenapa pula Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan berkata dua anggota tentera dari Kelantan yang terkorban dalam insiden itu sebagai syahid serta jihad ke jalan Allah.

"Apabila kena pada orang Kelantan sendiri, boleh pula kata mati syahid. Sebelum itu, lapan anggota keselamatan kita gugur dalam insiden serupa tidak pula kata syahid," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerong Seberang dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas itu sebelum ini bahawa dua anggota tentera Malaysia yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah sebagai mati syahid.

Ramli yang sebelum ini bersama Pas selama lebih 30 tahun dan pernah menganggotai Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) ketika sepenggal pemerintahan Pas di Terengganu (1999-2004) kini beralih kepada UMNO setelah tidak lagi selari dengan dasar dan perjuangan Pas.

Pada 4 Februari lalu, beliau bersama-sama 80 lagi ahli Pas di Kampung Bukit Chempedak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Berangan mula menyertai UMNO dan kini dilantik sebagai Ketua Penaja Cawangan UMNO Bukit Chempedak.

Ramli seterusnya berkata, Pas perlu memandang serius perkara berkaitan syahid atau jihad ke jalan Allah demi kepentingan dan perpaduan umat Islam serta mengelak timbul kekeliruan.

"Ini jelas, Pas sanggup main politik murahan dalam insiden yang berlaku di Sabah ini. Sebelum ini, pakatan kata kejadian itu sandiwara UMNO sedangkan apa yang berlaku jelas memperlihatkan Pas sebenarnya yang lebih bersandiwara terutama dalam hubungannya dengan DAP dan PKR," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment