My Add

Monday 11 March 2013

MCA ada calon boleh menang DUN Tanah Rata, Tras - Liow

BENTONG, ISNIN, 11 Mac, 2013: MCA Pahang mempunyai calon boleh menang yang diyakini dapat menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata di Cameron Highlands dan DUN Tras di Raub pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Pengerusi MCA Pahang berkata, jentera parti di kedua-dua kawasan itu juga masing-masing diketuai anggota exco kerajaan negeri Pahang.

"Dalam usaha menawan semula dua DUN itu, MCA turut melantik Datuk Hoh (Khai Mun) bagi mengetuai jentera di Tras manakala Datuk Fong (Koong Fuee) di Tanah Rata," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Hoh ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, manakala Fong yang juga ADUN Cheka ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna.

Liow juga menegaskan isu perebutan kerusi Tanah Rata antara MCA dan Gerakan tidak pernah timbul kerana Tanah Rata merupakan kawasan tradisi MCA.

"Ini (Tanah Rata) kerusi MCA, tidak ada cadangan untuk tukar (dengan Gerakan). MCA akan pastikan kita menang sebab kita dah buat perancangan rapi terutama dalam meyakinkan pekebun-pekebun sayur dan meletakkan winnable candidate dan yakin calon berkenaan boleh bantu BN (Barisan Nasional) menang di Tanah Rata," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi DUN itu dimenangi oleh bekas anggota MCA, Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas. Pada 2010, Ho menyertai Gerakan.

Sementara itu, Liow berkata, dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap MCA, beliau telah mengarahkan semua MCA bahagian membuka bilik gerakan bagi memberi penerangan kepada rakyat tentang kejayaan dan pembangunan yang dibawa oleh parti itu kepada rakyat dalam tempoh lima tahun ini.

"...kita juga kena beritahu perancangan MCA Pahang untuk lima tahun akan datang. Ada permintaan khusus untuk kampung baharu, tokong, tanah kubur, itu semua kita ambil kira dan akan pastikan keperluan kaum Cina tidak dipinggirkan," katanya.

Liow sebelum itu merasmikan Majlis Konvokesyen Program Empower Bentong anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment