My Add

Thursday 7 March 2013

Mekanik rasuah pegawai PGA dihukum penjara 14 hari, denda RM10,000

ALOR SETAR, RABU, 06 Mac, 2013: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada seorang Inspektor polis tahun lalu.

Amran Abdul Aziz, 37, dari Changlun, Kedah membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Ooi, yang mengarahkan hukuman itu bermula hari ini, memerintahkan mekanik itu dipenjara lima bulan lagi jika gagal menjelaskan denda. Amran membayar denda itu.

Amran didakwa memberi suapan RM1,000 kepada Inspektor Arif Ismail dari Unit Pasukan Gerakan Am, Batalion 3, Bidor, Perak sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Habali Hasan yang ditahan kerana cuba menyeludup 23 tenggiling ke Thailand.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Oktober 2012 antara jam 10.15 pagi dan 11.30 pagi di pondok pemeriksaan C Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mohd Habali yang menggunakan Perodua Kancil bernombor PFE 7510 milik Amran untuk menyeludup tenggiling itu telah didakwa oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Januari lalu dan didapati bersalah.
Amran yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan hukuman penjara dengan alasan menanggung seorang isteri, lima anak berumur empat hingga 13 tahun dan ibu berumur 70 tahun yang uzur selain ini adalah kesalahan pertamanya.

Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Shahrul Khuzaini Amiruddin menjalankan pendakwaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment