My Add

Friday 8 March 2013

Mimi Haris dilarang jalani penggambaran di Manila

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Penyanyi, pelakon dan pengacara Mimi Haris, 23, yang berada di Manila ketika ini dinasihatkan tidak menjalani penggambaran untuk program "Travelog" di bandar raya itu untuk sementara waktu.

Mimi yang tiba di sana sejak awal pagi 5 Mac lalu bersama krew turut dinasihatkan oleh pihak Kedutaan Malaysia agar tidak keluar daripada hotel.

Larangan itu dibuat ekoran tunjuk perasaan oleh penyokong Jamalul Kiram III yang mengecam serangan tentera Malaysia ke atas kumpulan pengganas Sulu di Sabah.

Sekurang-kurangnya 100 penunjuk perasaan Katolik dan Islam yang merupakan penyokong setia Kesultanan Sulu telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pejabat Kedutaan Malaysia, di Makati City, serta di Tordecillas Street, Salcedo Village, Selasa, baru-baru ini.

Menurut Mimi, ketika mereka bersiap sedia untuk memulakan penggambaran pada hari pertama, wakil kedutaan telah menelefon dan menasihati agar tidak keluar daripada hotel.

"Sebaik sampai di Manila kami bertemu dengan pihak pelancongan dari Kedutaan Malaysia. Ketika bersiap sedia untuk keluar penggambaran, orang kedutaan telefon dan beritahu pejabat ditutup sebab ada rusuhan.

"Pihak kedutaan juga pesan, jika keadaan menjadi lebih teruk, mereka akan sediakan tiket untuk kami balik segera ke tanah air," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Utusan Malaysia hari ini.

Jelasnya, keesokan hari (Rabu), pihak kedutaan memberitahu, mereka boleh melakukan penggambaran kerana keselamatan mereka akan sentiasa dipantau.

"Kami bebas untuk melakukan penggambaran pada hari ke dua berada di Manila tetapi dinasihatkan oleh pihak kedutaan agar tidak pergi ke pusat membeli belah Greenhill, Manila.

"Selain itu, kami juga dipesan agar elak daripada bertutur bahasa Melayu bila berada di tempat awam. Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya dan krew produksi selamat," katanya.

Mimi dan krew produksi pada awalnya dijangka berada di sana selama empat hari bagi penggambaran program terbitan Nad's Media Production yang akan ditayangkan pada bulan Mei 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment