My Add

Wednesday 13 March 2013

MLKN kaji masukkan video pencerobohan dalam modul PLKN

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
SEPANG, SELASA, 12 Mac, 2013: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mengkaji untuk memasukkan video kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah ke dalam modul pembelajaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pengerusinya, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, kes pencerobohan yang telah mengorbankan nyawa beberapa anggota keselamatan itu perlu didedahkan kepada para pelatih untuk mengetahui situasi sebenar.

Beliau berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat memberi penekanan kepada para pelatih betapa soal keselamatan negara merupakan perkara yang perlu diberi keutamaan.

"Perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dan akan dibawa dalam mesyuarat pada 22 April ini.

"Antara yang dimasukkan ke dalam video itu nanti adalah berita-berita yang diambil daripada media cetak dan media elektronik mengenai kes pencerobohan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis Pelancaran Tabung Wira Lahad Datu di Kem PLKN Princess Haliza di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Pada majlis tersebut, tayangan kronologi kes pencerobohan di Lahad Datu itu turut dipertontonkan kepada para pelatih.

Sementara itu, Tiki berkata, Tabung Wira Lahad Datu akan mula dilancarkan pada hari ini serentak di kesemua 81 kem PLKN seluruh negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment