My Add

Saturday 9 March 2013

Mukhriz persoal Kuin gagal sedia asrama pelajar

JITRA, SABTU, 09 Mac, 2013: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan asrama pelajar secukupnya di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil sedangkan kos pembinaannya merangkumi bangunan penginapan pelajar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, amat membimbangkan apabila para pelajar dikatakan terpaksa tinggal di dalam bangunan kuliah yang dijadikan tempat penginapan pelajar.

"Saya pun bingung kenapa perkara ini boleh berlaku, sebab jumlah kos pembinaan (RM330 juta) cukup untuk membina semuanya (termasuk masjid dan asrama). Jumlah yang dibelanjakan tidak berkurangan, kita nak tahu ke mana perginya duit itu.

"Adakah ia digunakan untuk perkara tidak berfaedah yang tidak termasuk dalam perancangan," katanya katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 1Litar@Kedah di Taman Aman di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan kakitangan Kuin bahawa pihak pengurusan menjadikan bilik kuliah sebagai asrama pelajar kerana bangunan sementara yang dijanjikan untuk penginapan pelajar masih gagal dibina walaupun pelajar telah diberi cuti hampir sebulan.

"Di manakah maruah kita sebagai anak Kedah, apabila satu projek yang diangkat sebagai kebanggaan kerajaan negeri, tetapi ia serba kekurangan. Masjid dan asrama tidak dibina walaupun ada dalam pelan dan sekarang pelajar-pelajar pula hendak disuruh duduk dalam bilik kuliah.

"Ini bukan caranya hendak memberi keselesaan kepada institusi yang bergelar kolej universiti. Ini bukan satu kebanggaaan tetapi satu kegagalan kerajaan PAS Kedah," kata Mukhriz.

Beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan dalam isu itu bagi membantu para pelajar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment