My Add

Sunday 10 March 2013

Najib saran jabatan kerajaan, swasta beri peluang kepada OKU

PUTRAJAYA, SABTU, 09 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu jabatan-jabatan kerajaan dan swasta memberikan peluang seluas mungkin kepada orang kurang upaya (OKU) supaya mereka boleh menjadi aset yang bernilai kepada negara.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin OKU mampu berdikari dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada negara sekiranya diberikan bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

''Apa yang diperlukan mereka bukan belas kasihan atau pertolongan kebajikan semata-mata, tetapi OKU perlu dilihat sebagai aset negara.

''Ramai OKU telah menjadi ahli fikir, ahli sukan, ahli seni dan sebagainya. Apa yang diperlukan mereka ialah peluang untuk mengembangkan kebolehan dan bakat masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan Pertandingan Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri di Dataran Putrajaya di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Perdana Menteri berkata, penganjuran pertandingan bakat istimewa pada malam ini membawa mesej jelas kepada pengganas di Lahad Datu, Sabah bahawa tindakan pencerobohan mereka tidak akan menggugat kesejahteraan di negara ini.

''Kita menentang penceroboh dan musuh sebab kita hendak pertahankan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini.

''Tiada cara lebih baik melainkan kita menjalani kehidupan seperti biasa dan menunjukkan apa yang mereka (penceroboh) lakukan tidak mungkin mengganggu-gugat kehidupan dan kesejahteraan kita kecapi," katanya.

Tambah Najib, semua rakyat Malaysia mengambil berat tentang apa yang berlaku di Sabah dan mendoakan wira-wira negara selamat sehingga mereka selesai melaksanakan tugas mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment