My Add

Wednesday 6 March 2013

Nasihat Nurunnisa kepada isteri pejuang di Sabah


 *SHAHRIZAT Abd. Jalil berkata sesuatu kepada Nurunnisa Abu Bakar yang sebak
 dalam Majlis Solat Hajat dan Tahlil bersama keluarga Komando VAT 69 di Kem
 Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Ipoh, semalam.

IPOH, SELASA, 05 Mac, 2013: Balu Koperal Sabarudin Daud, 46, yang terkorban dalam insiden berdarah Lahad Datu, Sabah menasihati semua isteri anggota keselamatan yang bertugas di negeri itu sentiasa tabah dengan sebarang berita bakal mereka terima.

Nurunnisa Abu Bakar, 40, berkata, mereka perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dan reda memandangkan suami masing-masing berjuang demi keselamatan negara.

"Redalah dengan apa jua yang bakal berlaku. Itu adalah ketentuan daripada-Nya dan kita hanya mampu berdoa demi keselamatan mereka.

"Sebagai seorang isteri yang telah kehilangan suami kerana berjuang untuk negara, saya faham apa yang dirasakan mereka sekarang ini. Tabahkanlah hati kerana perjuangan mereka adalah perjuangan murni," katanya.

Nurunnisa ditemui selepas Majlis Solat Hajat dan Tahlil bersama keluarga Komando VAT 69 yang dihadiri Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinta, Datuk Rusnah Kassim dan Presiden Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Datin Rosnani A. Latif.

Sabarudin, seorang anggota polis komando VAT 69 terbunuh pada 1 Mac lalu dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang menjadi kubu kumpulan pengganas dari Filipina itu.

Selain Nurunnisa, Allahyarham turut meninggalkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia antara 13 dan 17 tahun.

Menurut Nurunnisa, walaupun sudah kehilangan suami, dia masih merasakan debaran setiap kali mendengar berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

"Walaupun suami sudah tidak ada, tetapi suami kawan-kawan semua ada di sana. Jadi saya faham perasaan mereka," katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Shahrizat meminta Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara menyegerakan kelulusan bantuan kebajikan kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden tersebut.

Shahrizat turut menyampaikan sumbangan RM1,000 daripada Wanita UMNO kepada Nurunnisa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment