My Add

Friday 8 March 2013

NGO hantar memorandum kepada kerajaan Filipina

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum bagi menggesa kerajaan Filipina mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua kumpulan bersenjata yang menceroboh Sabah, Jamarul Kiram III sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia.

Tiga NGO tersebut, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma) dan Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM) turut menggesa kerajaan Filipina melalui Presidennya, Benigno Aquino III campur tangan dengan mengetatkan kawalan keselamatan di perairan negara itu agar kejadian serupa tidak berulang.

Menurut Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Patchay, pencerobohan kumpulan bersenjata ke atas Sabah itu sememangnya tindakan biadab yang jelas mencemar kedaulatan negara.

"Tindakan kumpulan pengganas itu tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi mereka telah membunuh dan mencederakan anggota keselamatan negara ini. Mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

"Sehubungan itu kami menggesa kerajaan Filipina menangkap Jamarul Kiram supaya dapat dibicarakan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Kedutaan Filipina, Zaide Castro-Fuerzas di ibu pejabat Kedutaan Filipina di Jalan Changkat Kia Peng di sini.

Sementara itu Presiden Desmma, Mohd. Fazil Abdullah berkata, Sabah adalah milik Malaysia dan tiada ruang untuk mana-mana pihak menuntutnya.

"Sabah bukan lagi hak Kesultanan Sulu dan mereka perlu sedar hakikat tersebut, sehubungan itu kerajaan Filipina diharap dapat memastikan pencerobohan yang berlaku tidak berulang semula," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment