My Add

Tuesday 26 March 2013

NGO minta polis siasat keselamatan projek terowong dasar laut

GEORGE TOWN, ISNIN, 25 Mac, 2013: Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) hari ini membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai keselamatan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Presidennya, Aminah Abdullah berkata, pembinaan terowong yang merentasi laluan kapal itu dibimbangi mengancam keselamatan pengguna apabila siap kelak.

"Kerajaan negeri sepatutnya kaji dahulu apa kesan pada terowong jika terjadi kemalangan kapal di laut. Lagipun sudah banyak kemalangan melibatkan terowong sebegini dilaporkan di luar negara.

"Bolehkah kerajaan negeri menjamin keselamatan pengguna jika terjadi kejadian luar jangka di dalam atau luar terowong itu nanti?," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Aminah berkata, sebelum projek itu dimulakan adalah wajar jika segala kesan baik dan buruk dipertimbangkan dengan teliti dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Baru-baru ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya sekali lagi menegaskan projek terowong berserta tiga rangkaian lebuh raya yang bernilai RM6.3 bilion akan diteruskan sebagaimana dirancang.

Terowong dasar laut itu bertujuan menghubungkan Persiaran Gurney di sebelah pulau dengan Bagan Ajam di tanah besar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment