My Add

Wednesday 6 March 2013

NGO terus kutuk Tian Chua yang cuba politikkan isu Lahad Datu

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Pelbagai pihak terus mengutuk kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, yang dilapor mengaitkan UMNO dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Laporan polis juga dibuat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantah kenyataan Tian Chua yang dilihat sebagai percubaan mempolitikkan isu itu.

Kira-kira 300 anggota Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) berarak sebagai tanda membantah kenyataan kontroversi itu bermula dari pejabatnya di Jalan Tun Razak menuju Balai Polis Putra di sini.

MIC Cawangan Batu, Persatuan Kaum India Kasipillay dan Persatuan Penjaja Kecil Masjid India pula membuat laporan di Balai Polis Sentul dan meminta polis melakukan siasatan terhadap Tian Chua kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah serta menimbulkan kemarahan rakyat negara ini.

Di PERAK, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap Tian Chua berikutan kenyataan biadapnya, yang dilihat berbaur hasutan dan fitnah.

"Ini satu hasutan fakta (sehingga Tian Chua) boleh menyatakan sesuatu yang cukup biadap dan kurang ajar dalam memberi kenyataan. Jangan buat fitnah, jangan reka cerita... kalau ada bukti, bagi tahu (pihak berkuasa)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Risda Zon Utara di Ipoh.

Di KEDAH, Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu pula mahu pihak berkuasa melucutkan taraf kerakyatan Tian Chua kerana kebiadapannya memperlekeh perjuangan pasukan keselamatan negara.

Lebih 100 anggota UMNO dan tujuh NGO Pendang melakukan demonstrasi aman selain membakar patung menyerupai wajah Tian Chua sebagai tanda tidak puas hati dengan kenyataannya.

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 100 anggota dari 126 NGO Jelebu berhimpun secara aman bagi mengutuk kenyataan Tian Chua di depan Dewan Budaya Simpang Pertang di Jelebu.

Di PULAU PINANG, lima NGO iaitu Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pulau Pinang, Majlis Belia Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan, Persatuan Pusaka Silat Gayong dan Badan Kebajikan Amal Kepala Batas menuntut Tian Chua memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, terutama kepada semua keluarga anggota keselamatan yang terkorban, kerana mengeluarkan kenyataan yang biadab dan tidak sensitif. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment