My Add

Tuesday 26 March 2013

Nik Aziz akan jadi liabiliti Pas jika terus bertanding sampai bila-bila

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Mac, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pasti menjadi liabiliti kepada parti itu sekiranya meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya sampai bila-bila.

Dalam usianya yang tua dan uzur, beberapa penganalisis politik meramalkan penolakan kuat daripada golongan muda terhadap kepimpinan Menteri Besar Kelantan itu sekiranya beliau berbuat demikian.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, penglibatan ‘dinosaur’ politik seperti Nik Abdul Aziz menyebabkan landskap politik negara mundur.

“Nik Abdul Aziz sejak 1967 sudah masuk Pas, jadi lebih 40 tahun dalam politik. Dalam usianya yang sudah hampir menginjak 90 tahun, apakah perkhidmatan yang boleh dilakukannya, apatah lagi membawa perubahan?

“Pas perlu sedar perkara ini agar parti itu mampu memberi cerminan segar kepada pengundi atas pagar, jangan bila mereka pegang kuasa tidak mahu lepaskan, bukan Nik Abdul Aziz sahaja, Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz semalam menegaskan beliau bukan sahaja akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13, sebaliknya terus bertanding sampai bila-bila waima terpaksa menggunakan kerusi roda sekali pun.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau hanya akan berundur daripada politik sekiranya Pas tidak memerlukannya lagi manakala bagi pilihan raya umum ini, Pas Pusat telah membuat keputusan supaya beliau wajib bertanding.

Dalam pada itu, Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang arif dalam selok-belok politik seharusnya berundur sejak dahulu lagi.

Katanya, Mursyidul Am Pas itu sepatutnya berehat dan menurunkan ilmu kepimpinan beliau kepada golongan muda dalam parti.

“Nik Abdul Aziz perlu menggunakan pengalaman beliau untuk memberi nasihat, meluangkan masa untuk keluarga dan melakukan aktiviti yang tak timbulkan kebencian antara ummah," ujarnya.

Nik Aziz patut berehat daripada terus bertanding

KOTA BHARU: Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan Wan Ubaidah Omar secara peribadi berpendapat, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Ni Mat patut berehat mengambil kira keadaan kesihatan beliau, daripada terus bertanding pada pilihan raya umum.

Wan Ubaidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh menafikan kehendak lebih ramai pihak yang mahu Menteri Besar Kelantan itu terus memimpin.

“Memanglah secara peribadi kita nak Tok Guru (Nik Abdul Aziz) berehat tetapi oleh kerana ramai mahukan kepimpinan, karisma dan barakah beliau, kita tak boleh halang, ini pun keputusan dibuat Pas Pusat, selagi orang nak kepada Tok Guru kita terimalah, Tok Gurulah yang (merasa) letihnya tetapi kita tak.

“Kalau pengasas Hamas, Almarhum Sheikh Ahmad Yassin boleh mentadbir dari kerusi roda, jadi Tok Guru kita itu belum lagi naik kerusi roda, kita ada Timbalan (Menteri Besar) dan pegawai yang seharusnya boleh jalankan tugas yang dipertanggungjawab, Tok Guru sebagai pemikir dan mengarahkan dasar-dasar untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah bernilai lebih RM30,000 kepada keluarga seorang penyembelih ayam, Rosman Hamad, 40, yang mempunyai lapan anak di Kampung Merbau di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang menegaskan beliau bukan sahaja akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sebaliknya terus bertanding sampai bila-bila waima terpaksa menggunakan kerusi roda sekali pun.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau hanya akan berundur daripada politik sekiranya Pas tidak memerlukannya lagi, manakala bagi PRU-13 ini, Pas Pusat telah membuat keputusan supaya beliau wajib bertanding.

Dalam perkembangan lain, Wan Ubaidah menyuarakan keyakinan Dewan Muslimat Pas Kelantan untuk mempertahankan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang dimenangi wakilnya pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.

Malah, beliau sendiri yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Kijang yang dimenanginya tanpa bertanding pada PRU-12 lalu kerana mendakwa mempunyai jentera parti yang mantap di samping sambutan menggalakkan penduduk, walaupun mengakui UMNO banyak melakukan kerja kebajikan di kawasan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment