My Add

Tuesday 26 March 2013

Nik Aziz sedia tanding sampai bila-bila

KOTA BHARU, AHAD, 24 Mac, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau bukan sahaja akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13, sebaliknya terus bertanding sampai bila-bila waima terpaksa menggunakan kerusi roda sekali pun.

Menteri Besar itu berkata, beliau hanya akan berundur daripada politik sekiranya Pas tidak memerlukannya lagi manakala bagi pilihan raya umum ini, Pas Pusat telah membuat keputusan supaya beliau wajib bertanding.

“Saya sebut dah kalau parti suruh bertanding, saya bertanding walaupun saya berkerusi roda, saya bertanding, kalau parti kata cukup, cukuplah.

“Sekarang ini sudah ada keputusan daripada pejabat agung dua tiga bulan lepas lagi, Nik Aziz wajib bertanding, Setiausaha Agung Pas (Datuk Mustafa Ali) sudah sebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz yang kini berumur 82 tahun telah memegang jawatan sebagai Menteri Besar selama 22 tahun manakala di peringkat Pas Pusat, beliau menjadi Mursyidul Am Pas sejak tahun 1987.

Pada pilihan raya umum 2008, Nik Abdul Aziz yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Nik Zain Omar dengan majoriti 4,249.

Keadaan kesihatannya yang semakin uzur dan kerap dimasukkan ke hospital menyebabkan banyak pihak mengkritik dan meminta beliau berundur daripada terus terlibat dalam arena politik, namun Nik Aziz tidak pernah mempedulikan kritikan itu.

Beliau sebelum ini pernah menyatakan akan bersara daripada politik jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut melakukannya, namun setelah Dr. Mahathir berbuat demikian sejak 10 tahun lalu, Nik Abdul Aziz masih kekal di tampuk kepemimpinannya

Sementara itu, mengulas tentang persiapan Pas Kelantan untuk menghadapi pilihan raya umum, Nik Abdul Aziz berkata, 90 peratus daripada calon yang akan bertanding telah disiapkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment