My Add

Wednesday 20 March 2013

Nur Misuari diingatkan tidak ambil kesempatan atas insiden di Sabah

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari tidak sepatutnya mengambil kesempatan terhadap insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah untuk menjayakan agenda peribadinya.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem berkata, Nur Misuari sewajarnya menyokong perjanjian damai yang ditandatangani antara kerajaan Filipina dan Bangsamoro baru-baru ini, sekiranya mencintai keamanan dan benar-benar prihatin dengan nasib masyarakat itu.

"Saya ingin mengingatkan Nur Misuari jangan menangguk di air yang keruh. Beliau hendaklah menumpukan masa dan tenaga menjayakan perjanjian damai tersebut supaya keamanan yang berpanjangan dapat diwujudkan di Mindanao," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nur Misuari kepada Al-Jazeera baru-baru ini, yang menuduh Malaysia campur tangan dalam hal ehwal Moro di selatan Filipina dan mendakwa Kuala Lumpur menjajah Sabah dan Sarawak.

Nur Misuari juga mendakwa kononnya Malaysia menjadi penghalang kepada usaha menyatukan kumpulan Moro yang bertelagah menuntut kemerdekaan di selatan Filipina iaitu kumpulan MNLF dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang terlibat dengan perjanjian damai yang diusahakan Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Richard memberitahu, usaha mempromosi kedamaian merupakan salah satu teras dalam dasar luar Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia mahu melihat negara-negara jiran menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

"Atas sebab itu, Malaysia melibatkan diri secara aktif dalam misi-misi pasukan pengaman di seluruh dunia dan menawarkan diri membantu usaha damai di negara-negara jiran khususnya di Filipina," ujarnya.

Jelas Richard, suasana huru-hara dan tidak stabil di selatan Filipina tidak memberi sebarang manfaat kepada mana-mana pihak.

Malah, kata beliau, Malaysia dan negara-negara jiran lain perlu memberi perlindungan kepada penduduk selatan Filipina yang terpaksa meninggalkan tempat asal mereka untuk menyelamatkan diri dan mencari kehidupan lebih baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment