My Add

Tuesday 26 March 2013

Objektif strategi lautan biru terserlah di Lahad Datu: Khalid

LAHAD DATU, ISNIN, 25 Mac, 2013: Keberkesanan program Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) yang membabitkan kerjasama antara pasukan polis dan tentera terserlah sepanjang gerakan ofensif pasukan keselamatan menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata gabungan unit-unit gerak gempur polis dibantu komitmen sepenuhnya daripada angkatan tentera benar-benar menggerunkan musuh sehingga militan Sulu kehilangan arah.

"Gabungan unit-unit di bawah PDRM (Polis Diraja Malaysia), antaranya Pasukan Gerakan Am, Gerak Khas, Vat69, Pasukan Gerakan Marin serta Unit Udara dan dibantu penuh komitmen oleh ATM (Angkatan Tentera Malaysia) menyerlahkan kegagahan pasukan keselamatan negara dalam memerangi pengganas.

"Ternyata selepas Operasi Daulat dilancar, kerjasama PDRM-ATM melalui NBOS ini amat berkesan dan berjaya memperkukuh kekuatan pasukan keselamatan dalam mempertahan kedaulatan negara," katanya ketika berucap pada jamuan tengah hari sempena sambutan Hari Polis Ke-206 di Felda Residence, Felda Sahabat 16 di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, pengurusan FELDA, ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat dari sekitar kawasan berkenaan.

Khalid berkata, jika diteruskan, konsep NBOS iaitu pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif antara polis dan tentera, mampu menangani sebarang anasir yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara pada masa hadapan.

Melalui NBOS, pendekatan oleh PDRM dan ATM bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak ialah mengadakan rondaan bersama di seluruh negara untuk membanteras jenayah.

Sementara itu, Khalid diberi kejutan apabila sekumpulan anggota tentera diketuai Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin secara tiba-tiba muncul menyanyikan 'Selamat Hari Polis' dan membawa kek sempena sambutan memperingati Hari Polis Ke-206 hari ini.

Zulkifli berkata, selain menyambut hari polis, penyerahan kek beserta sejambak bunga raya yang diikat dengan baju celoreng unit komando ATM itu juga membuktikan keutuhan kerjasama antara dua pasukan dalam mempertahankan negara, khususnya semasa berhadapan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

"Saya mewakili seluruh warga ATM mengucapkan selamat hari polis, dan yakin bahawa semua warga tentera walau di mana sahaja mereka berkhidmat termasuk yang paling istimewa daripada anggota yang kini bertugas di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu turut berkongsi kegembiraan sama," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment