My Add

Wednesday 6 March 2013

Pengarah hospital parah ditetak
 *DR. Mohd. Yassim Abdul Rahman cedera parah selepas ditetak dengan sebilah
parang oleh seorang kakitangannya di Hospital Taiping, Perak, semalam.
 - BERNAMA

Oleh ASLIZA MUSA
IPOH, SELASA, 05 Mac, 2013: Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassim Abdul Rahman cedera parah selepas diserang dan ditetak oleh seorang kakitangan hospital berkenaan dengan parang dalam satu pertengkaran di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, Dr. Mohd. Yassim cedera di badan, kepala dan tangan selepas cuba menahan tetakan juru X-ray Jabatan Pengimejan dan Diagnostik hospital tersebut.

Kejadian dipercayai berlaku semasa suspek berusia 53 tahun itu bertemu dengan mangsa di salah sebuah bilik di jabatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Md. Diah berkata, mangsa yang cedera parah termasuk patah tulang lengan dibawa ke unit kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor.

"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil namun masih memerlukan pemantauan lanjut berikutan luka teruk yang dialami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, sejurus selepas kejadian, suspek melarikan diri menggunakan kereta Proton Persona.

Mohd. Yusof memberitahu, usaha menjejaki suspek di rumahnya di bandar Taiping, gagal kerana lelaki tersebut dipercayai sudah melarikan diri.

"Kita percaya suspek tidak pergi jauh dan orang ramai yang mengetahui lokasi suspek berada diminta menyalurkan maklumat terus kepada polis," ujarnya.

Mohd. Yusof berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment