My Add

Friday 8 March 2013

Pahang batal 24 lesen tangkap ikan laut dalam

Oleh ALI MAHMOOD
TEMERLOH, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Sebanyak 24 lesen menangkap ikan laut dalam dibatalkan di negeri ini bagi tempoh 2011 sehingga 2012 kerana pemegangnya melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk mendaratkan ikan di luar negara seperti di Vietnam.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussien berkata, selain membatalkan lesen, peralatan menangkap ikan turut dirampas kerana kegagalan mereka yang terlibat mendaratkan tangkapan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Katanya, kesalahan mereka dikesan melalui peralatan unit pengesan bergerak (mobile tracking unit) yang diwajibkan dipasang pada semua bot pengusaha menangkap ikan laut dalam yang menggunakan lesen C2.

"Sekarang ini terdapat 185 pengusaha menangkap ikan laut dalam berdaftar di negeri ini dan beroperasi di sepanjang perairan Laut China Selatan yang menggunakan pukat tunda, pukat jerut dan bubu serta rawai.

"Bagaimanapun daripada jumlah tersebut, 80 peratus pengusaha berkenaan telah mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan apabila mereka berjaya mendaratkan 250 tan ikan setahun bagi setiap sebuah bot pukat tunda, 350 tan pukat jerut dan 100 tan bagi penggunaan bubu dan rawai,'' katanya.

Terdahulu, beliau melepaskan 28,000 benih ikan temoleh dan lampam sungai di Kuala Sungai Semantan dan Sungai Pahang di Dataran Esplanede di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau juga tidak menafikan kemungkinan ada berlaku penjualan hasil ikan laut dalam oleh pengusaha tempatan kepada nelayan dari negara jiran di tengah laut tetapi setakat ini kes itu tidak mempunyai bukti kukuh.

"Jika perkara itu benar-benar berlaku, ia satu kerugian besar kepada negara kerana hasil perikanan laut dalam merupakan khazanah marin di Laut China Selatan yang boleh dieksport bagi menambah pendapatan negara.

"Ini kerana hasil laut sudah boleh dieksport seperti ke Singapura dan negara-negara Kesatuan Eropah dan sebab itu perairan negara ini sering menjadi sasaran pencerobohan nelayan-nelayan asing,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment