My Add

Wednesday 6 March 2013

Pakar sejarah sokong Rais, Sabah milik sah Malaysia

KOTA KINABALU, RABU, 06 Mac, 2013: Beberapa pakar sejarah hari ini menegaskan, Sabah ialah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak kerana rakyat negeri itu telahpun bersetuju dengan pembentukan Malaysia dalam tinjauan kajian Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Ketua Program Sejarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mosli Tarsat berkata, berdasarkan bukti sejarah, ia jelas menunjukkan status negeri Sabah memang sah sebagai sebahagian daripada Malaysia dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Malaysia, pernah dikuasai dan dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Sulu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, Jepun dan penjajah British, tetapi selepas 1963, keadaannya berubah setelah Sabah bersama dalam pembentukan Malaysia, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa Suruhanjaya Cobbold membuat tinjauan menyeluruh di Sabah dan Sarawak selama empat bulan mengenai penubuhan Malaysia, suruhanjaya itu menerima 2,200 memorandum, dengan lebih kurang 80 peratus rakyat kedua-dua negeri itu menyokong penubuhan Malaysia.

Laporan suruhanjaya itu telah dikemukakan kepada kerajaan British, dan Malaysia kemudian ditubuhkan dengan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak, tambahnya

"Oleh itu, Sabah secara rasmi menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963," katanya.

Katanya, beliau menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa Sabah ialah hak Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, pakar sejarah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang turut bersetuju dengan kenyataan Rais itu berkata, Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang diiktiraf dunia.

"Oleh itu, tidak timbul soal tuntutan sebahagian daripadanya oleh mana-mana pihak sekalipun. Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan semalam adalah tepat dari segi sejarahnya.

"Tidak timbul soal tuntutan, perkara itu sudah selesai lama dahulu," kata Felo Utama Unit Kajian Strategik Universiti Malaysia Perlis ketika dihubungi di sini.

Ramlah berkata, pungutan suara oleh Suruhanjaya Cobbold itu menyamai pungutan suara yang dilakukan untuk meninjau pendapat penduduk Singapura berhubung penubuhan Malaysia pada 1962 melalui Referendum Singapura.

"Mereka tidak boleh menuntut hanya berdasarkan sejarah. Contohnya kerajaan Siam menyerahkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris pada satu masa dulu, kerajaan Siam (pada masa ini) sememangnya tidak boleh tuntut balik negeri-negeri itu," katanya.

Ramlah berkata, rakyat Malaysia terutama di Sabah perlu jelas mengenai perkara itu dan perlu ada kesedaran untuk negara terus kekal aman serta menyokong kedaulatan negara.

"Kita bercakap tentang keselamatan dan kedaulatan negara, ini bukan masanya untuk mempolitikkan perkara ini atau menyalahkan kerajaan," tegas Ramlah.

Sementara itu, tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Borneo Utara (Sabah) telah diasingkan daripada Sulu sejak 1885 dan ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British.

"Perkara ini (pengasingan Sabah daripada Sulu) sudah berlaku sejak lama dahulu iaitu sebelum Suruhanjaya Cobbold 1963 lagi, jadi susah kalau kita nak ubah keadaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment