My Add

Friday 8 March 2013

Parti Golkar lebar sayap di Malaysia

 *ABURIZA Bakrie (dua dari kiri) menerima cenderahati berupa keratan artikel akhbar Utusan Malaysia mengenai Golkar sambil dibantu Ahmad Maslan (dua dari kanan) serta diperhatikan oleh Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) dan Herman Prayitno (kiri) selepas menyempurnakan pelantikan pimpinan baharu Parti Golkar Luar Negara (PGLN) bagi Malaysia dan Brunei serta sayap parti itu di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Parti tertua Indonesia, Golkar secara serius melebarkan sayapnya bagi mendekati rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia dengan kunjungan Ketua Umumnya, Aburizal Bakrie ke sini, selama dua hari bermula hari ini.

Dalam kempen Golkar memenangi pilihan raya Indonesia tahun depan, kehadiran Aburizal dilihat untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai calon Presiden Indonesia parti berkenaan seperti diputuskan mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu tahun lalu.

Menurut Aburizal, kehadiran beliau ke negara ini menunjukkan Golkar serius mendekati rakyat Indonesia dan membantu mereka walaupun berada di luar negara, seterusnya melayakkan parti itu mendapat mandat sebagai kerajaan.

Katanya, masyarakat Indonesia di sini yang berjumlah lebih dua juta orang seharusnya mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya negara itu dengan mengundi secara pos dan berharap lebih ramai akan berbuat demikian berbanding hanya 150,000 orang pada 2009.

"Selepas ini, Golkar melalui Ketua PGLN Malaysia-Brunei, Musthafa Bakri akan ke Hong Kong, Jepun, Korea dan meminta perwakilan Golkar di sana untuk memberitahu masyarakat Indonesia mengenai rancangan Golkar jika memenangi pilihan raya dan pilihan raya Presiden nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelantikan pimpinan baharu Parti Golkar Luar Negara (PGLN) bagi Malaysia dan Brunei serta sayap parti itu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, Duta Indonesia di sini, Herman Prayitno dan Musthafa.

Sempena kunjungan ke negara ini, Aburizal juga dijadual mengadakan dialog dengan kira-kira 500 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia di Kedutaan Indonesia, di sini esok.

Dalam pada itu, Aburizal mengakui beliau mengikut pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO yang sering turun padang bagi mendekati rakyat dan memahami permasalahan mereka.

Beliau juga secara terbuka melahirkan harapan UMNO akan memenangi pilihan raya umum nanti bagi meneruskan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua parti selama ini.

"Banyak lagi kerjasama yang Golkar harapkan daripada UMNO pada masa akan datang dan seperti saya katakan, perhubungan Golkar dan UMNO adalah sebagai trek kedua hubungan diplomasi antara Indonesia dan Malaysia selepas hubungan bilateral kedua-dua negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment