My Add

Monday 4 March 2013

Pasaran rempah-ratus Malaysia tarik kunjungan ke ekspo Melbourne

MELBOURNE, AHAD, 03 Mac, 2013: Pasaran rempah-ratus Malaysia pada Ekspo Mesyuarat dan Insentif Asia Pasifik (AIME) di sini menarik ratusan pengunjung, berbaris panjang untuk merasa makanan Malaysia yang menggoda, yang dimasak di tapak pameran.

Pasaran rempah-ratus sangat berjaya dalam mempromosikan jenama Malaysia, kata Ketua Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif.

"Makanan menjadi pilihan utama pembeli pada pasaran konvensyen dan insentif di sini, dan saya yakin kami berjaya menarik perhatian pengunjung AIME dan peserta pameran lain dari 44 negara," katanya.

Antara hidangan yang dijual ialah laksa, nasi lemak, char kway teow, sate, dim sum dan popia.

Zulkefli berkata, Malaysia semakin mendapat perhatian dan status sebagai Hab Acara Perniagaan Asia.

"Kami melihat semakin ramai pelawat perniagaan di Malaysia. Ini disebabkan keunikan kualiti negara seperti lokasi strategik di tengah-tengah Asia, kepelbagaian budaya, nilai untuk wang, pembangunan produk secara berterusan selain persekitaran perniagaan yang kondusif," katanya.

MyCEB turut mengambil peluang ini untuk mempromosi kempen korporat dan insentifnya - 'Malaysia - Asia Like Never Before' yang dilancarkan pada tahun lalu.

Peserta pameran Malaysia mempunyai gabungan pembeli berkualiti dan menerajui pameran pada AIME selama dua hari itu.

Pengurus Malaysia Airlines Melbourne, Terence Swampillai berkata, beliau menerima banyak pertanyaan untuk penerbangan berkumpulan ke Malaysia.

"Saya menerima 11 pertanyaan yang boleh merangsang pelancongan ke Malaysia,: katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Biro Konvensyen Sarawak, Anedia Kahar berkata, walaupun AIME agak lengang kali ini, namun pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pembeli.

Seperti biasa, Tourism Sabah menghantar kontinjen terbesar dari Malaysia selain ruang pameran terbesar di ekspo berkenaan.

Pengurus Kanan Pemasarannya Noredah Othman berkata, pasukannya sibuk melayani pertanyaan.

"Kami berpuas hati terhadap penyertaan kami di sini walaupun ia agak perlahan," katanya.

Pengarah Tourism Malaysia Sydney, Roslan Abdullah dan Pengurus Kanan Pemasarannya, Wendy Lee juga sentiasa tersenyum lebar yang menunjukkan mereka turut berpuas hati terhadap sambutan pembeli. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment