My Add

Sunday 10 March 2013

Pasukan keselamatan lakukan pemeriksaan Kampung Simunul

SEMPORNA, SABTU, 09 Mac, 2013: Seminggu selepas insiden serangan hendap di Kampung Simunul di sini yang meragut enam nyawa anggota polis, pasukan keselamatan hari ini membuat pemeriksaan dan pemantauan di kampung tersebut.

Operasi yang disertai polis komando VAT 69, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Am (PGA) mula memasuki kampung tersebut kira-kira pukul 8 pagi dan berakhir pukul 1 petang.

Turut menyertai operasi itu adalah Polis Marin dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Difahamkan, pemeriksaan itu dilakukan di Lorong 3, 4 dan 5 kampung tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Firdaus Francis Abdullah yang mengesahkan serbuan itu berkata, operasi dilakukan bagi memastikan kawasan kejadian minggu lalu sekiranya masih ada saki-baki senjata milik pasukan keselamatan atau pengganas.

"Pemeriksaan tersebut juga bertujuan membuat lakaran sebenar tempat kejadian dan memantau keadaan laut di kawasan tersebut. Sebanyak 100 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman berkata, penduduk kampung telah memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam operasi itu.

Katanya, sehingga kini kira-kira 300 penduduk belum pulang ke rumah mereka setelah berpindah ke kawasan lain sejurus selepas insiden berdarah itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment