My Add

Thursday 21 March 2013

Pegawai penyiasat ditempatkan di ESSCOM

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang mengkaji jumlah pegawai penyiasat (IO) dan pakar forensik yang diperlukan untuk ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) di pantai timur negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, jumlah itu bagi menampung keperluan enam buah balai baharu yang akan diwujudkan di sepanjang perairan Kudat dan Tawau selaras dengan cadangan kerajaan baru-baru ini.

"Perkara itu (penambahan IO) akan diteliti dan dilaksanakan secepat mungkin secara berperingkat bagi mengelakkan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu berulang.

"Kepakaran forensik juga akan dipertimbangkan untuk ditempatkan di kawasan berisiko di Sabah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan ESSCOM ketika meninjau Ops Daulat, operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Felda Sahabat 16, berdekatan dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Mohd. Bakri seterusnya berkata, kawasan yang diwartakan sebagai ESSCOM melibatkan sembilan buah daerah di bawah pentadbiran polis yang akan diberi perhatian.

Sementara itu, mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu oleh kumpulan pengganas Kiram, beliau berkata, siasatan polis menjurus kepada punca bekalan senjata yang diperoleh mereka.

"Seperti yang kita sedia maklum, kumpulan ini tidak disokong oleh kerajaan dan pemerintah mereka, justeru senjata yang digunakan untuk menyerang sehingga mengorbankan beberapa anggota kita perlu disiasat punca bekalannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment