My Add

Friday 15 March 2013

Pekima gesa ahlinya sokong usaha kerajaan tangani pengganas

Oleh TOREK SULONG
BACHOK, JUMAAT, 15 Mac, 2013: Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Islam Prihatin Malaysia (Pekima) mengarahkan lebih 22,000 ahlinya di seluruh negara memberikan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.

Presiden dan Pengasas Pekima, Bakri Mohamed berkata, ahli-ahli Pekima juga perlu menentang sebarang usaha yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan imej dan maruah pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau berkata, pihaknya turut mengawasi tindakan-tindakan provokatif yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab termasuk seorang guru, Mohd. Lotfi Nor, 37, dari Pasir Puteh yang menghina anggota keselamatan negara.

Jelas Bakri, beliau setakat ini berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu pencerobohan itu termasuk tindakan ke atas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Mohd. Lotfi.

"Anggota Pekima di seluruh negara sudah diberi surat arahan khas supaya mentaati kerajaan sedia ada, tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang. Tanggungjawab utama yang tidak boleh diingkari anggota Pekima adalah memastikan sokongan padu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui pentadbiran negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai 500 ahli Pekima mengadakan demonstrasi mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat sehingga menggugat ketenteraman negara di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di sini hari ini.

Satu laporan polis mengutuk kebiadaban Tian Chua turut dibuat pada pukul 11.30 pagi.

Dalam pada itu, Pekima melancarkan tabung sumbangan buat perwira negara yang terkorban dalam insiden berdarah di Sabah yang kemudiannya diserahkan kepada IPD Bachok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment