My Add

Saturday 9 March 2013

Pembangkang tak komited pertahan kesucian Islam - TPM

GEORGE TOWN, SABTU, 09 Mac, 2013: Tindak-tanduk pakatan pembangkang, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu, menunjukkan mereka tidak komited untuk mempertahankan kesucian Islam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini memberikan gambaran jelas bahawa pakatan pembangkang tidak mempertahankan agama Islam, walhal mereka menabur janji dalam manifesto untuk menghayati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Dalam isu kalimah Allah sebagai contoh...ramai ulama, Majlis Fatwa Kebangsaan dan umat Islam sendiri membangkitkan usaha untuk mempertahankan kesucian kalimah Allah, (tetapi) pimpinan pembangkang bersikap angkuh mempelekehkan pandangan ulama...untuk meraih laba politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Multaqa Guru Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Zon Utara di Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 2,300 guru agama.

Katanya, umat Islam harus bersatu-padu dalam menghadapi cabaran yang melanda umat Islam pada masa ini dan perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan ideologi politik akan hanya melemahkan umat Islam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyeru kira-kira 52,000 orang guru pendidikan Islam di negara ini untuk membawa mesej perpaduan kepada semua umat Islam menerusi program-program seperti Multaqa.

Beliau berkata, rakyat Malaysia harus bersyukur kerana negara ini masih kekal aman dan selamat walaupun banyak negara-negara Islam sedang berdepan cabaran daripada segi pembangunan dan masa depan berikutan keadaan tidak menentu.

Katanya, rakyat harus bersama-sama mempertahankan sistem yang telah lama terbina di mana kerajaan pusat mampu membawa kemajuan yang menggalakkan walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia dan penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment