My Add

Thursday 7 March 2013

Pembeli minta SPRM siasat pemaju Taman Desa terbengkalai sejak 2005

SHAH ALAM, RABU, 06 Mac, 2013: Persatuan Pembeli Rumah Taman Desa Kencana, Kapar, Klang, hari ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemaju perumahan itu yang tidak berlesen dan pegawai bank yang didakwa mereka menyeleweng sehingga menyebabkan projek perumahan taman itu terbengkalai.

Wakil persatuan itu, Md Najib Md Yusof, 44, berkata pihak terbabit perlu disiasat berikutan terdapat unsur penipuan dalam melaksanakan projek perumahan itu.

"Projek perumahan itu telah dimulakan pada 2003 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2005, namun pada tahun itu (2005) hanya 70 peratus projek perumahan yang menempatkan 35 unit rumah teres itu, siap dan kemudian ia terus terbengkalai.

"Apa yang mengejutkan, hasil semakan kami di Kementerian Perumahan pada 2009, mendapati pemaju perumahan ini tidak mempunyai sebarang lesen untuk melaksanakan projek perumahan itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di pejabat SPRM, di sini.

Beliau yang juga anggota jawatankuasa persatuan itu berkata, pihaknya curiga bagaimana pihak bank boleh membuat pembayaran kepada pemaju projek perumahan walaupun mereka tidak berlesen.

"Rumah itu berharga lingkungan RM85,000 sehingga RM100,000 dan pihak pembeli juga terpaksa membayar sebanyak RM730 hingga RM1,000 sebulan bagi menampung kos pinjaman bank yang dibuat oleh pembeli (untuk membeli rumah terbabit)," katanya.

Menurutnya, masalah itu juga telah dirujuk kepada Kerajaan Selangor namun tiada tindakan susulan diambil.

"Susulan kegagalan projek itu juga, pada 2009 kami telah merujuk masalah ini kepada kerajaan negeri dan mereka melantik exco (kerajaan negeri) Saarib Sungib untuk menangani masalah ini, namun tiada juga tindakan daripadanya.

"Atas sebab itu, kami mohon SPRM untuk menyiasat kes ini. Ini hak yang perlu dikembalikan, jadi kita minta SPRM siasat siapa pegawai bank terbabit dan mereka yang berkaitan supaya pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini didakwa," tegasnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment