My Add

Saturday 23 March 2013

Pemuda UMNO, ADUN Derga buat laporan polis dihalang pasang bendera

ALOR SETAR: Pemuda UMNO Cawangan Tanjung Seri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Dr Cheah Soon Hai hari ini membuat laporan polis berhubung ancaman keselamatan terhadap petugas Barisan Nasional (BN) yang memasang bendera di Kampung Chepoh dekat sini, semalam.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Cawangan Tanjung Seri, Mohd Noor Said dan Dr Cheah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.

Mereka mendakwa petugas BN yang memasang bendera dihalang oleh penyokong sebuah parti yang mendakwa kawasan itu hak mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mohd Nor berkata, laporan itu dibuat kerana bimbang hal itu akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari.

Dr Cheah pula berkata, beliau difahamkan Datuk Bandar Alor Setar sudah pun memberi kebenaran kepada semua parti untuk memasang bendera di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar selagi tidak melanggar syarat ditetapkan.

Ketua Pemuda GERAKAN Kedah, Tan Keng Liang turut hadir di IPD Kota Setar berharap pihak polis memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment